KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memperuntukkan RM82 juta untuk aktiviti dan projek bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM15.5 juta akan digunakan pada tahun ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, bidang pertanian moden dan pelancongan akan diberi tumpuan khusus di Betong.
“Dalam bidang pertanian, kita akan memberi tumpuan kepada kaedah pertanian moden fertigasi dan hidroponik untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.
"Kami juga akan mengusahakan ternakan seperti ayam organik, khinzir dan lembu. Ini adalah perkara yang kita rasa boleh dibangunkan di Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dengan jawatankuasa agromakanan dan wakil Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, Pertubuhan Peladang dan lain-lain di pejabatnya hari ini.
Pertemuan itu katanya untuk berbincang dengan pemain industri dalam mengenal pasti program dan projek yang berpotensi serta memperhalusi proses pelaksanaan.
Mengenai sektor pelancongan, katanya Betong mempunyai pelbagai produk yang boleh ditawarkan seperti Pesta Layang-Layang Antarabangsa Kabong, Pesta Ikan Buntal Spaoh dan Karnival Berbasikal Layar.
Selain itu katanya, Betong mempunyai potensi eko-pelancongan melalui rumah panjang tradisional Iban, hutan asli yang menarik, sistem 'Tagang' (hidupan akuatik dan amalan pemuliharaan alam sekitar), program inap desa di rumah panjang dan kampung, selain budaya yang kaya dan berwarna-warni serta kraftangan.
"Dan juga dalam rancangan kami adalah untuk membangunkan kawasan Bukit Sadok, tempat perlindungan terakhir Rentap nasionalis kami yang terkenal.”
Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan RM16 juta untuk membina replika kubu Rentap di Bukit Sadok.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, ADUN Beting Maro Razaili Gapur dan ADUN Kalaka Mohamad Duri.